Sunday, August 9, 2009

Jamal in the News

Pancaindera, Mingguan Malaysia 9 Ogos, 2009

Jamal memercik nostalgia


SEGMEN muzikal memberikan sisi baru kepada persembahan pada peminat yang hadir.


Tiga dekad menyusuri bidang seni bukanlah satu jangka masa yang singkat. Tidak banyak artis yang mampu memanjangkan laluan mereka dalam seni sebegitu lama. Malah dalam tempoh masa itu juga pelbagai suka dan duka melingkari hidup yang menjadi pengalaman amat berharga.

Demikianlah liku dan jeram yang dilalui oleh penyanyi Jamal Abdillah, lahir melalui Bintang RTM yang sehingga kini terus tegap di tengah persada seni.

Penat lelah menyanyi dalam tempoh masa itu berbayar apabila Jamal menzahirkan persembahan Jamal... Kembara Seniman di Istana Budaya (IB) bermula 5 Ogos dan berakhir malam ini.

Tidak semua insan seni bernasib baik. Sama seperti kisah hidup Jamal yang sering kali dilingkari belitan hitam berulang kali. Tetapi Jamal tidak tunduk kepada persekitaran yang boleh membunuh karier yang dibina sejak menjuarai Bintang RTM 1979.

Konsert ini lebih bersifat teaterikal, selain nyanyian oleh Jamal. Konsep persembahan dibina sedemikian rupa untuk memberikan kesan kepada penonton tentang perjalanan hidup dan kerjaya Jamal. Sekalipun bukan sebuah muzikal tetapi konsert ini memperlihatkan keunikan persembahan, kekuatan Jamal dan sokongan Istana Budaya dan juga Kumpulan Utusan sebagai media rasmi.

Segala yang terbuku di hati penyanyi ini diluahkan di pentas Istana Budaya sehingga ada penonton mengalirkan air mata. Inilah kelebihan Jamal. Tetap diterima oleh peminat walau apa juga keadaannya.

Konsert Jamal... Kembara Seniman merupakan anjuran Bintang Channel ini adalah yang kedua di Istana Budaya selepas konsert Jamal Abdillah Aku Penghibur sedikit masa lalu.

Penonton terbuai dek senandung dari suara mantap Jamal, ada kala begitu mendayu-dayu sehingga mampu membuatkan penonton terpercik rasa hiba dan mengalirkan air mata.

Kehebatan Jamal memang tidak boleh disangkal lagi dengan rangkaian lagu-lagu yang 'membesarkan' jutaan peminatnya sejak 30 tahun yang lalu.

Persembahan pada malam tersebut dibahagikan kepada dua segmen di mana segmen muzikal mengimbau kembali sejarah hidup penyanyi tersohor itu ketika kecil sehinggalah menjadi penghibur popular.

Dalam segmen konsert, penonton dibuai dalam emosi dengan lagu-lagu yang pernah dipopularkan olehnya sepanjang bergelar anak seni.

l Muzikal hidup Jamal

Selepas 10 tahun berdirinya Istana Budaya, belum ada lagi artis yang membuat persembahan di situ yang melakukan konsert yang bercorak teaterikal. Inilah kelainan yang dilakukan oleh tenaga produksi dalam persembahan tersebut.

Biarpun ada yang melihat muzikal tersebut sebagai sesuatu yang meleret-leret, apa yang pasti ia menyingkap kembali sejarah hidup raja pop itu yang tidak diketahui umum.

Penonton dibawa ke zaman kelahiran Jamal yang sering menangis sewaktu kecil sehinggalah babak zaman remaja di mana ramai yang memperlekehkan bakat menyanyi yang ada pada dirinya sewaktu kecil.

Babak pasar minggu di Teluk Anson, Perak begitu mencuit hati apabila Jamal yang mahu menyanyi terpaksa membayar duit kepada pemuzik sambil mendendangkan lagu Pesona Dusta.

Apa yang paling menarik penonton dibawa mengimbau kenangan tahun 1979 apabila klip video Jamal membuat persembahan semasa menyertai Bintang RTM dengan lagu Senandung Semalam.

Langkahnya tidak terhenti setakat itu sahaja sebaliknya diteruskan dengan zaman kegemilangan, konflik bersama Ahmad Nawab, transisi bintang popular dan menghadapi peminat fanatik. Paling menyentuh perasaan apabila Jamal bermonolog dengan dirinya mengenai nasib penghibur sepertinya yang sering kali diburu emosi apabila duduk bersendirian.

Sambil memandang cermin, Jamal melihat sendiri wajahnya. Selama berpuluh-puluh tahun menghiburkan peminat, siapa pula yang menghiburkan dirinya?

Memang menyentuh perasaan apabila babak itu dipertontonkan kepada umum. Itulah harga yang perlu dibayar oleh penghibur sepertinya seumur hidupnya.


RAJA pop ini masih mampu bertahan selama 30 tahun menyusuri ranjau dan onak duri dunia seni.


Malah ada yang sempat berbisik, pejamkan mata dan rasai sendiri nyanyian Jamal pada malam tersebut. Sedikitpun tidak pernah berbeza daripada nyanyian dalam kaset mahupun CD penyanyi itu.

Inilah kehebatan Jamal. Biarpun semakin meningkat usianya, namun persembahannya semakin matang. Beberapa segmen mengisi slot konsert dimuatkan lagu-lagu medley termasuklah raja pop, mengenang P. Ramlee, lagu Melayu Deli dan segmen akhir yang diselangselikan dengan lagu duet.

Jamal tidak menunjukkan masalah biarpun berduet dengan Erni, Jo-Anna dan Fatin yang cungkil bakat daripada program Bintang RTM 2009 baru-baru ini. Lagu Kehebatan Cinta dan Sandarkan Pada Kenangan yang pernah dipopularkan bersama Francisca Peter dan Fauziah Ahmad Daud satu ketika dahulu membuatkan penonton yang hadir pada malam itu semakin teruja.

Biarpun Fauziah menarik diri daripada menjadi pengarah segmen muzikal, semua itu langsung tidak memberikan masalah kepada Jamal untuk terus memberikan yang terbaik khususnya kepada peminat.

Hadirin yang ada bagai tidak dapat menahan emosi apabila mendengarkan lagu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang yang didedikasikan kepada arwah ayahnya yang selama ini menjadi sumber inspirasinya.

Panggung Sari Istana Budaya sunyi seketika takkala mendengarkan bait-bait lirik yang menyentuh perasaan. Jamal sesekali menyeka air mata yang tumpah.

l Teruja sambutan peminat

Melihatkan sambutan yang diterima sepanjang lima hari persembahan berlangsung, Jamal tidak dapat membendung rasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.

Ketika ditemui, Jamal melahirkan rasa syukur apabila segala yang dirancang selama ini membuahkan hasil, hampir semua tiket berjaya dijual.

"Saya sangat menghargai sokongan dan bantuan yang telah diberikan oleh pihak Istana Budaya dan Kumpulan Utusan bersama-sama dengan penaja yang lain. Mereka tidak pernah putus-putus menghulurkan apa juga bantuan kepada Bintang Channel selama ini.

"Melihatkan reaksi penonton yang ada pada setiap malam, saya sangat berpuas hati kerana dapat menghiburkan mereka. Sebab itu saya bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik kepada mereka," kata Jamal lagi.


PERMATA hati...Jamal bersama anaknya, Osama Yamani (kiri) dan Ahmad Zaki Yamani (kanan).


Dalam persembahan tersebut hampir 40 buah lagu didendangkan lagu penuh dan medley menjadikan persembahan itu benar-benar memberikan kesan kepada peminat.

Katanya, banyak paparan di sebalik kehidupannya didedahkan dalam persembahan tersebut memandangkan perkara tersebut masih lagi tidak diketahui umum.

"Bukan tujuan saya memaparkan kisah hidup saya untuk meraih simpati. Tujuan saya memaparkan kisah tersebut sekadar mahu berkongsi suka dan duka yang sudah saya lalui sepanjang bergelar anak seni.

"Tidak ada istilah meminta-minta dalam hidup saya. Walaupun sesetengah pihak tidak sudi menghulurkan bantuan, ia tidak sesekali akan menjejaskan usaha yang selama sudah saya laksanakan.

"Selagi saya masih hidup saya tetap akan menghiburkan orang ramai," jelas Jamal lagi.

Kesan daripada persembahan tersebut, sudah ada pihak daripada Singapura yang ingin membawa dia membuat persembahan di Kota Singa itu.

Biarpun tawaran yang dikemukakan itu masih belum ada hitam putihnya, Jamal begitu berbesar hati seandainya perkara tersebut bakal menjadi kenyataan.

"Saya sangat gembira sekiranya perkara tersebut menjadi kenyataan. Ini bermakna orang masih lagi nampak bakat yang ada pada diri saya," katanya.

No comments: